Tuesday 15 March 2011

KEUTAMAAN WAKTU SEPERTIGA MALAM TERAKHIR...

  Perbincangan mengenai keutamaan dan keistimewaan sepertiga terakhir daripada waktu malam tidak bermakna waktu-waktu lain tidak mempunyai keutamaan dan keistimewaan. Sebenarnya qiamullail memang elok dilakukan, tidak kiralah pada mana-mana  bahagian malam sekalipun. Namun apabila kita memerhatikan hadis-hadis Rasulullah, kita dapati sepertiga terakhir daripada waktu malam mempunyai lebih banyak keistimewaan dan nilai berbanding dengan bahagian malam yang lain.

  Ini bukanlah sesuatu yang aneh, kerana Rasulullah menjelaskan secara dasarnya pada sepanjang tahun, terdapat malam-malam tertentu yang dimuliakan dan mempunyai nilai yang lebih berbanding waktu-waktu lain. Apabila manusia beribadaah pada malam itu, pahalanya akan dilipatgandakan. Contohnya Lailatul Qadr. Lailatul Qadr berbanding malam-malam lain ialah disebabkan Quran diturunkan pada malam itu. Begitu juga dengan malam Nisfu Syaaban yang berlaku pada pertengahan bulan Syaaban, malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Nahar, dan malam Aidilfitri. Malam-malam itu mempunyai keutamaan yang tersendiri.

    Berkenaan malam al-Qadr, Allah menyatakan dalam surah al-Qadr, ayat 1:
 
   "Sesungguhnya kami menurunkan Quran pada Lailatul Qadr."
 
    Dalam hadis yang dilaporkan daripada Mu'az, Rasulullah berkata:

   "Allah turun pada pertengahan bulan Syaaban ke langit dunia. Lalu dia mengampuni sejumlah manusia yang ramainya melebihi bilangan rambut kambing kabilah Kalb."

   Direkodkan Ibnu 'Asakir, Rasulullah berkata:

   "Sesiapa menghidupkan malam-malam yang empat. maka berhak baginya syurga. Malam-malam itu adalah malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Nahar dan malam Aidilfitri."

   Dalam hadis lain yang Thabrani merekodkan, Rasulullah menjelaskan :

   "Sesiapa yang menghidupkan malam aidilfitri dan malam Aidiladha, hatinya akan tidak mati ketika hati-hati yang lain mati."

   Malam al-Qadr dan malam-malam istimewa yang lain adalah waktu yang menyimpan banyak kemuliaan. Semua orang berebut-rebut bagi mendapat kemuliaan malam itu, yang mana ia hanya berlaku sekali setahun. Namun begitu tidak bermakna yang doa hanya dimakbulkan pada malam-malam mulia itu, kerana Allah juga menarik waktu-waktu mustajab pada setiap malam di sepanjang tahun.

   Ibnu 'Athaillah berkata, "Doa mempunyai  rukun-rukun, sayap-sayap, waktu-waktu, sebab-sebabnya. Apabila doa memenuhi rukun-rukunnya, menjadi kuat. Apabila sayap-sayapnya dipenuhi, ia terbang di langit. Apabila ia sesuai dengan waktu-waktunya, ia beruntung. Apabila ia bertepatan dengan sebab-sebabnya, ia berhasil."

No comments:

Post a Comment