Tuesday 15 March 2011

DI SATU PENYESALAN

   "Ala...apasal ayah datang masa ni?"
Kerutan kehairanan muncul pada wajah tua Yusoff. Lidahnya kelu untuk menuturkan kata mendengarkan rungutan si anak. Salahkah aku melawat anak aku? Bukannya orang lain!
   "Ayah, Idah ada hal ni!"
Yusoff mengangguk faham. Dalam masa yang sama Yusoff merasakan hatinya hancur berkecai dan pedihnya bagai dihiris sembilu.
   "Kalau macam tu, ayah balik dulu. Jaga diri baik-baik."
   "Emm !!"
   Junaidah menyahut endah tak endah dengan wajah yang masam mencuka. Langkah terus diatur menghampiri rakan yang sejak tadi memerhati mereka dua beranak. Yusoff hanya dapat menggelengkan kepalanya sambil melihat telatah anak gadisnya. Tanpa membuang masa, Yusoff menghidupkan keretanya yang sudah separuh usia  dan meninggalkan perkarangan sekolah itu dengan membawa sekeping hati yang retak seribu.
   "Ayah kau ke Ju?"
   Junaidah mencebik mendengar soalan Emilia. Ligat otaknya memikirkan jawapan kepada soalan Emilia , anak seorang Timbalan Pengarah.
   "Tolong sikit! Ayah aku kan pengarah syarikat, mana kelaas pakai kereta buruk macam tu!"
   "Habis kenapa kau panggil dia ayah?" , sekali lagi Junaidah terjerat.
   "Ala, apa salahnya. Bukannya orang lain, merangkap driver aku!"
Junaidah memandang sekilas kearah kereta ayahnya dan pantas menarik tangan Emilia yang merenungnya dengan pandangan aneh ke dewan selera. Sementara di dalam sebuah kereta yang usang, dari mata seorang ayah, menitis air jernih.
   "Jue, outing nak?"
   Junaidah terdiam seketika mendengar pelawaan Emilia. Dalam diam dia mengira-ngira baki duit yang tinggal. Tapi otaknya ligat memikirkan apa yang perlu dilakukannya.
   "Okey." Jawabnya sepatah.

        
                      _____________________________________

   "Result awak teruk."
Junaidah terdiam mendengar kata-kata Shaari, Penolong Pengetua.
   "Kalau awak gagal memperbaiki result awak, saya terpaksa keluarkan awak dari sini!"
Junaidah hanya mampu mendiamkan diri dan saat itu, wajah ibu, ayah, dan adik muncul di layar mata. Maafkan Idah.
   "Saya mahu result awak baik selepas ini."
   "Saya tahu cikgu. Terima kasih kerana beri saya peluang sekali lagi. Saya tak akan sia-siakan peluang ini."
Cikgu Shaari mengangguk dan berharap anak kepada  peneroka ini mampu mencapai kejayaan yang cemerlang demi mengubah corak kehidupan mereka sekeluarga.


                     ___________________________________

   Junaidah menarik not RM50 dari wallet berwarna hitam. Sambil matanya liar memerhati sekeliling, bimbang perbuatannya dilihat orang. Setelah pasti situasinya selamat, dengan cukup berhati-hati Junaidah memasukkan kembali wallet hitam ke dalam loker Emilia. Pantas langkah diatur dan pintu yang sememangnya renggang dikuak. Matanya membulat sementara manik-manik halus mula terbit di dahinya. Mata Emilia, Roslin, dan Fazyana yang merenungnya memaksanya menyandarkan tubuhnya yang lesu ke dinding.
   "Ooo...jadi kau la toyol blok ni!"
   "Anak lord konon! Dasar orang tak kenang budi!"
Kata-kata yang mencecah gegendang telinganya akhirnya berjaya menumpahkan air mata keinsafan dari klam matanya. Sayangnya keinsafan itu tiada ertinya lagi pada saat ini.

                __________________________________

   Keheningan tanah perkuburan itu menyentap ulu hati Junaidah. Kuntuman kemboja berguguran di kakinya.
   "Ayah, maafkan Idah."
   Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Junaidah. Air matanya terus gugur tanpa henti. Namun apa yang pasti satu persoalan akan tetap membelenggu jiwanya sampai ke akhir hayat, masihkah ada kemaafan buat dirinya.....

        

No comments:

Post a Comment